Korban Natasha untuk keluarga

 
SAMBUTAN Aidiladha tahun ini lebih bermakna bagi Natasha Hudson.
Ternyata tahun 2012 membawa definasi berbeza buat pelakon dan pengacara Natasha Hudson atau nama sebenarnya Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson, 29.

Sudah pastinya, setiap yang berlaku itu memberi satu lagi sebab untuk diri si cantik ini untuk menjadi insan yang lebih baik pada hari mendatang.

Membawa gelaran isteri dan ibu juga memberi sebab untuk wanita ini meletakkan keluarga kecilnya jauh lebih penting daripada segala-galanya.

Mengakui agak kurang muncul di dada akhbar kebelakangan ini, menurut Natasha, kehilangan ini bukan bermakna dia ingin melupakan industri yang selama ini menjadi periuk nasinya.
�Saya masih ada, cuma memberi lebih tumpuan kepada keluarga.

�Sebenarnya tahun ini saya lebih banyak melibatkan diri dalam bidang pengacaraan. Mungkin sebab itu ramai yang bertanya sama ada saya sudah meninggalkan bidang lakonan," katanya.
Dikenali sebagai antara pelakon wanita yang mempunyai raut wajah yang cantik, Natasha kini sudah lapan bulan memilih untuk mengenakan tudung. Bercerita mengenai penghijrahannya itu menurut Natasha, dia kini lebih tenang dengan penampilan baru tersebut.

�Niat itu datang dengan sendirinya selepas pulang dari tanah suci Mekah. Yang pasti saya kini selesa. Bercakap soal rezeki selepas bertudung, rasanya masih sama. Cuma saya agak memilih kini kerana mahu lebih banyak masa diluangkan bersama keluarga," jelasnya.

Tidak pernah terfikir untuk terus meninggalkan bidang lakonan, bagi pelakon filem Cermin ini selepas bernikah pada 15 April lalu, dia memang sudah memasang niat untuk memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan.

�Tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu memberi sebab untuk saya meluangkan lebih banyak masa bersama mereka. Jadi kalau berlakon, saya akan habiskan banyak masa di luar, lain pula bidang pengacaraan yang mempunyai waktu lebih fleksibel.

�Di kala anak saya kini berusia empat tahun, pastinya waktu ini sangat penting untuk saya sebagai ibu berada di sisinya sentiasa ," katanya.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. fuh-yo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger