kenapa Hubungan semakin hambar.dia sudah ada pasangan lain kah?
PERNAHKAH anda sebagai isteri merasakan ada hari-harinya anda berasa hambar dengan sikap suami anda.
Mungkin anda merasakan sikap suami anda sudah tidak seperti dahulu, banyak mengelak diri dan enggan pula berkomunikasi dengan anda.
Sekiranya terjadi sedemikian pasti ada sebabnya suami anda beraksi begitu. Mungkin dia mengalami masalah yang berat di pejabat, berhadapan dengan masalah kesihatan mahupun ingin berseorangan.
Bagaimanapun adalah malang sekiranya sikap suami berkeadaan demikian disebabkan dia sudah tidak menyayangi atau memerlukan anda lagi, namun dia sukar pula untuk meluahkan kenyataan itu kepada anda, manakala anda pula tidak mengetahui puncanya.
Berikut diberikan enam cara tanda mengenal pasti adakah suami anda sebenarnya memang sudah tidak menyayangi anda dan sekiranya perbezaan watak ini dapat dihidu dari awal mungkin anda sebagai isteri boleh memulihkan keadaan.
1Dia jarang ada di rumah
Ramai di kalangan lelaki menggunakan alasan banyak kerja di pejabat menyebabkan mereka balik lambat ke rumah. Bagi mereka apa guna balik ke rumah awal sekiranya dihimpit dengan rasa kebosanan, tiada berperasaan, terasa menyampah mahupun terasa tiada makna sebaik sahaja sampai di rumah.
Hakikatnya di sebalik keadaan ini menyebabkan mereka banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan tanpa disedari mereka akan menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja yang kini dirasakan lebih menarik daripada anda di rumah.
2Tiada lagi kata-kata pujian darinya
Bilakah kali terakhir anda mendengar pujian daripada suami anda atau menghargai sesuatu yang anda lakukan. Lelaki tidak akan mengucapkan kata-kata pujian kepada individu itu apabila dia fikir si dia tidak layak untuk mendapatkan pujian berkenaan.
Apabila suami anda sudah mula kurang tumpuan kepada anda dan percaya semua yang anda lakukan adalah tidak berbaloi bagi dirinya, lambat-laun perhatiannya kepada anda mula hilang.
3Dia suka menyalahkan anda
Tuduhan demi tuduhan dan suka menyalahkan anda adalah salah satu babak yang paling ditakuti dalam hubungan suami isteri. Ini juga menunjukkan tanda besar sebenarnya suami anda sudah tidak mahukan anda lagi dalam perhubungan berkenaan. Apatah lagi sekiranya dia sudah mempunyai wanita lain dan pastinya dia mula membuat perbandingan antara anda dan si dia. Akhirnya, anda yang akan menjadi tempat untuk dia melepaskan segala yang terbuku di hati dengan maki hamun dan sumpah-seranahnya.
4Kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh pasangan terhenti
Ini termasuklah dia tidak lagi membawa anda untuk pergi jamuan makan bersama-sama, enggan bersama anda di mana-mana majlis ataupun tidak mahu makan bersama biarpun di rumah.
Ini disebabkan dia tidak lagi mendapati anda menarik buatnya dan apabila bersama anda dia tidak terasa keseronokan sebagaimana waktu mula bercinta dahulu.
Begitu juga dia terasa mahu berjauhan daripada anda setiap masa kerana berasa bebas sekiranya berbuat demikian.
Tambahan pula sekiranya dia sudah ada pasangan yang lain menyebabkan semua aktiviti yang lebih menyeronokkan boleh dilakukan bersama teman barunya.
5Komunikasi selalunya hambar
Jika pasangan itu dalam keadaan bercinta selalunya semua komunikasi yang dilakukan adalah menyeronokkan dan menarik sehinggakan apa sahaja isu boleh dijadikan bahan.
Namun apabila kasih sayang sudah semakin menurun kesukaran untuk bercakap antara satu sama lain juga akan berlaku malah suami anda akan mengelak daripada bertentang mata dengan anda. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab.
Hanya isu utama yang dicakapkan itupun beberapa patah perkataan sahaja. Akhirnya tiada lagi ucapan dan kata-kata keluar dari mulut suami anda kerana dia berasa tidak lagi seronok untuk berbual dengan anda.
6Kasih sayang dan aktiviti seks mula menghilang
Ini adalah saat kebahagiaan akan hilang dan terus luput dari sanubari seorang yang bergelar suami kepada isterinya.
Hilangnya kasih sayang dan tiadanya rasa ghairah kepada pasangan menyebabkan hubungan suami isteri itu sudah tiada makna lagi terutama ketika di ranjang.
Biarpun sesudah bertahun mungkin hubungan seks antara suami isteri sudah tidak serancak selalu namun hubungan akan berkekalan selagi ada rasa kasih sayang. Tetapi apabila semuanya hilang hubungan akan renggang dan akhirnya putus.
Apabila hubungan seks dilakukan pula hanya terasa hambar dan dingin sedangkan si isteri menanti dengan penuh rasa harap.
Si suami ketika itu kasih sayangnya pula sedang berbunga maka keghairahan pun menjelma berbanding anda yang telah lama dikenalinya.
Labels:
Tips Cinta