4 sekeluarga ditemui mati dalam rumah
Betong: Empat sekeluarga ditemui mati, dipercayai sejak tiga hari lalu, di sebuah rumah di Kampung Lubuk Chepung, Pusa, di sini, petang semalam.
Kejadian itu disedari seorang lelaki berumur 43 tahun, saudara mangsa, yang bertandang ke rumah berkenaan dan terhidu bau busuk kira-kira jam 5.30 petang.
Mangsa dikenali sebagai Zaidi Pandi, 62; isterinya yang hanya dikenali Saemah, 53 serta dua anak, Mohd Khazel 27 dan Nor Atikah, 20.
Ketika ditemui, mayat keempat-empat beranak itu sudah berbau dan berulat.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Sarifuddin Mustafa, berkata lelaki itu yang juga adik kepada seorang ahli keluarga terbabit menghubungi polis meminta bantuan berhubung bau busuk itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bergegas ke rumah mangsa sebelum menemui mayat empat beranak bergelimpangan di ruang tamu serta berulat.
Polis terpaksa memecah pintu rumah kerana dikunci dari dalam. Sejurus pintu dibuka, polis menemui mayat mangsa dalam keadaan berulat, katanya.
Siasatan awal tidak menemui bukti keluarga berkenaan dirompak atau menjadi mangsa jenayah kerana rumah berkunci dari dalam, tiada kesan diceroboh atau senjata ditemui.
Sarifuddin berkata, berikutan itu, buat masa ini polis membuka kertas siasatan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Betong untuk bedah siasat.
Labels:
berita tempatan