Kilafairy dan Aidil Aziz berlakun Suami Isteri
PERTAMA kali bertentang mata hanya ketika di lokasi Saiful Nita untuk menghidupkan watak sebagai suami isteri nyata memberikan keserasian kepada Kilafairy dan Aidil Aziz. Dan kemesraan itu turut terlihat ketika menjayakan fotografi bersama Hits yang diatur oleh pihak TV3 di Butik Saiful Baharim, Bangsar, Kuala Lumpur.
Apakah cinta lokasi sudah berputik di hati pasangan ini?
Sementelah kedua-duanya banyak menghabiskan masa menjalani penggambaran di sekitar Pulau Langkawi, Sungai Petani, Kedah dan Pulau Pinang untuk menjayakan drama nukilan Sharifah Abu Saleem dan diarahkan Amy.
Takut berkemban
KEMUNCULAN pertamanya dalam filem Karak, arahan Yusry Abdul Halim mendapat perhatian ramai gara-gara watak Ida yang dilakonkannya tampil berkemban dalam satu adegan.
Penampilannya yang dikira berani untuk pendatang baru itu membuatkan orang lebih mengingati filem itu kerana adegan Kilafairy berkemban dan bukan jalan cerita.
Berdasarkan pengalaman itulah, Kilafairy atau lebih senang membahasakan diri sebagai Kila mengakui yang dia kini amat berhati-hati dalam memilih watak.
"Cukuplah Kila menjadi buah mulut orang sebelum ini kerana berkemban. Sekarang ini sebelum setuju, Kila akan baca skrip dulu tengok ada atau tidak adegan sebegitu. Kalau ada, pasti Kila tolak kerana tidak mahu lagi tampil imej seksi.
"Sebagai orang baru dalam bidang seni lakon, Kila mahu tampil dengan pelbagai watak dan tidak terikat pada satu watak atau imej.
"Untuk drama Saiful Nita, Kila suka kerana watak Nita ada naik turun. Ini juga drama episod pertama lakonan Kila dan pertama kali memegang watak utama," ceritanya mengenai drama bersiri 26 episod itu yang kini disiarkan di TV3.
Jelasnya, watak Nita adalah seorang anak gadis yang suka memberontak dan gemar menghabiskan masa di kelab dan dipaksa kahwin dengan lelaki yang diatur oleh bapa.
"Dalam drama ini watak Nita sering berubah dan Kila perlu sentiasa bersedia melakonkan momen-momen tersebut. Apa pun drama ini banyak memberi pengalaman baru kepada Kila.
"Kila tidak ada masalah untuk berpasangan dengan Aidil kerana dia seorang pelakon yang mudah memberi kerjasama dan selalu berbincang," katanya tentang pasangan lakonnya itu.
Anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu juga berkata, sepanjang penggambaran drama, dia sering merindui keluarga kerana tidak pernah berjauhan.
Menurut Kila, dia sanggup berjauhan dengan keluarga kerana ingin melangsai impian berlakon drama bersiri yang merupakan projek ulungnya itu.
"Bila sudah berlakon dapatlah Kila rasai suasananya bagaimana bila berlakon drama episod ini. Penat memang tidak dapat dielakkan tapi seronok.
"Paling tak tahan, disebabkan pertama kali berjauhan dengan keluarga, Kila jadi homesick. Bila hujung-hujung penggambaran, rasa tidak sabar sahaja nak habiskan agar dapat pulang ke rumah," ceritanya.
Malah kata Kila, sepanjang berlakon drama tersebut, dia terpaksa menolak lima tawaran filem dan tiga buah drama.
Biarpun tidak berpeluang Kilafairy tidak menyesal kerana percaya di masa akan datang, rezeki berlakon filem tetap ada.
"Tak rugi apa-apa pun bila tolak tawaran itu kerana Kila suka buat satu kerja pada satu masa. Kalau nak buat dua kerja dalam satu masa, takut Kila tak mampu sebab kualiti perlu dijaga.
"Sekarang ini Kila tunggu tawaran untuk bawa watak perempuan kampung yang teraniaya. Kalau dapat watak itu, Kila pasti akan buat yang terbaik dan sekali gus membuktikan yang Kila boleh lakonkan pelbagai watak," katanya penuh optimis.
Tiada cinta lokasi
Masih muda dan banyak perkara yang hendak dikejar. Itulah alasan yang diberi oleh Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan apabila ditanya tentang teman hidup.
Dia yang tampak mesra dengan Aidil itu turut menolak kemungkinan hubungan mereka akan menjadi intim gara-gara watak yang dilakonkan.
Masakan tidak mereka nampak amat serasi bergandingan sebagai suami isteri dalam drama terbitan Pena Creative itu.
"Kila bukan jenis yang mudah jatuh cinta dan tidak ada cinta di lokasi ya. Lokasi adalah tempat cari makan bukan kekasih. Lagipun Kila masih muda dan baru dalam bidang ini.
"Lambat lagi nak fikir soal pasangan hidup, banyak benda yang Kila nak buat. Setakat ini Kila selesa berkawan dengan pasangan lakon kerana itu lebih seronok," katanya terus terang.
Gadis berusia 20 tahun yang pernah tampil dengan lagu Roman ini juga berkata, ketika ini sibuk bekerjasama dengan Amylea Azizan (AF3) untuk menghasilkan single, Pasti.
"Kila senang bekerjasama dengan Amylea sebab lagu-lagunya ada unsur antarabangsa. sebenarnya lagu Pasti itu, kami ambil masa selama empat bulan untuk siap. Sampai mama kata, sedap sangatkah?
"Lagu berentak soul R&B itu dibuat mastering di Australia, sebab itulah yang lama sangat. Kila rakam dalam dua versi, Bahasa Melayu dan Inggeris. Malah klip videonya pun sudah siap," katanya yang menunggu waktu sesuai untuk melancarkan single tersebut.
Dalam pada itu Kilafairy berkata, dia bercadang untuk membuat jualan secara dalam talian untuk perniagaan Butik Rack yang terletak di USJ 19 City Mall, Subang Jaya, Selangor.
"Permintaan untuk jualan di Rack memang banyak, cuma Kila saja tidak ada masa untuk urus sebab sibuk. Kalau orang nak barulah Kila buka butik itu. Bukan apa nak cari orang yang boleh dipercayai untuk menjaga butik susah.
"Sekarang ini, kalau ada yang nak membeli bolehlah beli terus dalam talian. Itupun Kila tengah buat sebab baru ada waktu cuti," katanya.