12 Oktober 2012
Beliau mendakwa kegagalan kerajaan Selangor menguruskan pungutan sampah terutamanya di kawasan Lembah Klang akan menyebabkan berlaku masalah timbunan sampah di kawasan longkang dan sungai sehingga boleh mengakibatkan kejadian bencana itu.
"Sekiranya masalah sampah ini berlarutan dan tiada tindakan sewajarnya diambil sehingga musim tengkujuh pada Disember ini, akan berlaku limpahan air akibat timbunan sampah di kawasan saluran air seperti longkang dan sungai," katanya dalam sidang media semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata, masalah sampah itu masih berlarutan berdasarkan laporan yang diterima melalui talian Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor yang mencatatkan sekurang-kurangnya 66 aduan setiap hari.
"Pakar terima purata 220 panggilan setiap hari di mana 30 peratus darinya berkaitan masalah pungutan dan pengurusan sampah dan sehingga hari ini tiada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh kerajaan negeri," katanya.
Beliau turut mempersoalkan pembelian 50 kompaktor sampah oleh kerajaan Selangor yang kononnya bertujuan mengatasi masalah kutipan sampah di negeri itu namun dakwanya kompaktor berkenaan tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ).
"Persoalannya mana lori-lori sampah ini dan mana lori-lori yang baru ditempah, kerajaan Selangor perlu menjawab perkara ini kerana ia membabitkan belanja sehingga RM14.5 juta duit rakyat," katanya. - Bernama