Tidak mahu lagi menyoroti kisah lalu Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, mempunyai misi yang lebih jelas kini.
Walaupun membawa status yang berbeza hari ini, bagi Jimmy kehidupannya masih sama seperti dahulu. Bagaimanapun dia mengakui status duda yang dipegang kini agak berat untuk dirinya.
"Memang banyak dugaan rupanya namun bercakap soal kehidupan saya fikir saya masih menjalani kehidupan yang sama.
"Tidak banyak bezanya, sama seperti saya bergelar suami dahulu, hidup berseorangan sudah menjadi kebiasaan kepada saya," katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di Putra Heights, Shah Alam, Selangor.
Melalui episod penuh kontroversi dalam hidupnya, Jimmy memberitahu, dia menerima dugaan yang diberikan itu dengan hati terbuka. Malah ayah kepada bayi berusia setahun setengah nampaknya sudah bersedia untuk menerima kehadiran orang baru.
"Saya memang mahu anak yang ramai, soal jodoh saya memang tidak pernah sekat.
"Saya tahu dugaan akan menguatkan kita sebagai manusia. Mungkin melalui dugaan ini Allah mahu ingatkan kita tentang kekuasaan yang tidak mungkin kita dapat atasi dan dengan itu kita akan menjadi lebih insaf," katanya.
Ditanya sama ada terdetik rasa serik di dalam hidupnya untuk sekali lagi melalui alam perkahwinan, bekas pengacara Trek Selebriti ini memberitahu, kali ini dia hanya mahukan seorang wanita yang mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
"Setelah melalui perkahwinan pertama saya, saya akui apa yang lebih penting ialah ikatan yang suci.
"Mungkin jika saya ditakdirkan bertemu seorang suri baru, saya fikir apa yang saya mahukan seseorang yang biasa dan mampu memberi kehidupan berkeluarga untuk saya," katanya yakin.
Cuba menduga hatinya lagi kami ajukan soalan, adakah benar hatinya ini sudah diisi seseorang, menyangkal perkara itu menurut Jimmy, dia sama seperti dahulu, seorang yang agak pemalu dengan wanita.
"Saya ada keluar dengan wanita tetapi itu hanya kawan-kawan sahaja.
"Jika dahulu saya dikenalkan dengan bekas isteri saya melalui ibunya, saya rasa cara itu masih lagi relevan untuk saya. Saya memang seorang yang sukar untuk memulakan talian persahabatan dengan mana-mana wanita," katanya ketawa.
Doa kebahagiaan bekas isteri
Melangkah ke dalam rumah duda kacak ini, ada amaran yang ingin diberikannya kepada kami.
Menurut Jimmy dia tidak mahu persoalan mengenai mahkamah diteruskan. Tegasnya, dia tidak mahu persoalan itu menganggu urusan keadilan yang akan dilaksanakan untuk hak penjagaan anaknya nanti.
"Saya harapkan kita tak bincang soal itu. Bukan apa, saya tidak mahu mengganggu proses perbicaraan kelak," katanya.
Di sebalik keruntuhan rumahtangganya, ada sisi kematangan yang mahu ditunjukkan Jimmy kepada mereka di luar sana.
Bagi Jimmy dia tidak pernah mahu menyalahkan mana-mana pihak tentang apa yang sudah ditakdirkan. Baginya mudah - Allah maha mengetahui apa yang berlaku ke atas hamba-hamba-Nya.
"Saya tidak pernah menyimpan dendam ke atas bekas isteri saya malah sentiasa berdoa agar dia bahagia.
"Saya percaya mungkin jodoh kami bukan untuk bersama namun tanggungjawab sebagai ibu dan ayah akan terus mengikat kami," katanya lembut.
Berkongsi perasaan yang ditanggungnya kini, bagi Jimmy sebagai seorang ayah, dia sentiasa merasai rasa rindu yang amat sangat kepada anak tunggalnya, Zahrah Rania Shanley.
"Tipulah kalau saya kata saya tidak rindu dia anak saya. Walaupun kami jarang berjumpa saya sebenarnya mahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah kepadanya.
"Bagaimanapun kadang-kadang ada rasa berputus asa sebab (kes) berlarutan terlalu lama. Dalam merawat luka tersebut, jika ada kawan-kawan yang baru melahirkan anak, saya akan berikan baju-baju milik anak saya ini kepada mereka.
"Bukan apa sayang kalau dibiarkan sahaja, anak saya semakin besar dan baju-baju ini tidak lagi muat untuknya," katanya.
Mahu segala-galanya diselesaikan hujung tahun ini menurut Jimmy, seboleh-bolehnya dia tidak mahu anaknya mengetahui apa yang pernah berlaku di antara dia dan bekas isterinya.
"Anak saya semakin membesar, saya tahu tidak lama lagi dia sudah boleh membaca dan memahami apa yang tertulis di Internet, sebab itu saya mahu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
"Saya tidak mahu perkara ini memberi impak kepada dirinya, dan sudah menjadi impian mana-mana bapa juga untuk melihat anaknya membesar di hadapan mata.
"Mungkin bukan rezeki saya untuk menjaga dia, sejak dia dilahirkan tetapi harapan saya agar selepas ini semuanya berubah," katanya berharap.