zain saidin Zain hadiahkan che ta puluhan bunga ros dan patung beruang untuk pujuk rozita che wan



Shah Iskandar Sedia Temui Zain Saidin Isu 'Rebut' Rozita Che Wan


Shah Iskandar

PETALING JAYA: Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar bersedia untuk bersemuka dengan aktor Zain Saidin bagi meleraikan salah faham berhubung isu “rebut” pelakon Rozita Che Wan.
Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 30, bagaimanapun berkata, Zain ada hak untuk merasai perasaan kurang senang terhadap dia dan Rozita kerana mereka berdua sedang bergandingan dalam beberapa drama terbitan Zeel Production sejak dua bulan lalu.
“Dia (Zain) ada hak untuk berasa kurang senang atau salah sangka dengan kemesraan saya bersama Che Ta (Rozita), walaupun saya tidak tahu status sebenar hubungan mereka, sama ada masih bersama atau sudah tiada apa-apa.

“Saya tidak salahkan Zain pun malah, saya bersedia dan terbuka untuk bersemuka jika dia mahu mendapatkan penjelasan berhubung gosip ini.
“Hakikatnya, hubungan saya dengan Che Ta pada masa ini hanya atas nama kerja dan profesional. Tiada apa-apa yang serius antara kami,”

Shah berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus terbaharu yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan Rozita sejak terlibat dalam penggambaran drama Kiah Pekasam dua bulan lalu sehingga menimbulkan perasaan cemburu kepada Zain.


 
Rozita Che Wan
Selain drama bersiri itu, ketiga-tiga mereka digandingkan bersama beberapa minggu lalu dalam telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir untuk siaran Astro di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Zain dilaporkan telah mengirimkan puluhan bunga ros dan patung beruang ke bilik penginapan Rozita di hotel berkenaan bagi memujuk hati wanita itu yang dikatakan sedang merajuk.
Dalam pada itu Shah tidak menolak jika ditakdirkan hubungannya menjadi lebih rapat dengan Rozita pada masa akan datang kerana dia menyenangi sikap wanita berusia 39 tahun itu.
“Setakat ini belum ada apa-apa yang serius antara saya dan Che Ta. Kami memang rapat dan tidak dinafikan banyak mata melihat kami bergurau serta berbual ketika di lokasi.
“Namun seperti dinyatakan tadi, ia hanya berlandaskan hubungan profesional. Saya tidak tahu pula pada masa akan datang hubungan kami menjadi lebih intim?
“Apa-apa pun selepas ini saya perlu lebih relaks dan berpada-pada dalam tindak-tanduk yang akan mengundang perasaan kurang senang kepada segelintir pihak,” jelasnya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Kiah Spy di Perlis.
 
Sementara itu, Zain yang dihubungi enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya dia terasa hati dengan kemesraan dua pelakon itu sehingga bertindak membelikan puluhan kuntum bunga ros bagi memujuk hati Rozita.
“Saya tidak mahu komen mengenai gosip itu. Sejak nama saya dikaitkan dengan Che Ta, macam-macam cerita timbul dan akhirnya saya juga yang terkena kesannya.
“Saya sudah penat bercerita dan menjawab perkara-perkara begini,” luahnya.
Ditanya mengenai kemesraan Shah dan Rozita, Zain berkata, pada pengamatannya mereka hanya rapat sebagai rakan artis di tempat kerja.
“Kebetulan mereka berlakon bersama untuk tempoh yang lama. Mungkin sebab itu mereka menjadi rapat dan ia adalah perkara normal.
“Saya tiada masalah mengenai gosip itu dan tidak fikir mereka mempunyai hubungan yang serius,” kongsinya yang terlibat dalam penggambaran drama bersiri Evolusi Kl Drift The Series.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. fuh-yo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger