Pelakun baru Eina Azman 17 tahun pelakun Mimpi Cinderella Diugut, dibuli kerana cantik

Eina Azman
Eina Azman
TITIK fokusnya kini bukan pada skrip, lensa kamera mahupun teman lakon, tetapi deretan soalan yang bakal menentukan hala tuju masa depan. Sama seperti calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lain, detik ini sungguh penting buat Eina Azman, 17, yang meletakkan harapan tinggi untuk lulus dengan cemerlang.
Pelakon yang kini popular melalui siri Mimpi Cinderella di TV3 menjelaskan, tempoh sebulan untuk mengulang kaji pelajaran dimanfaatkan sebaik mungkin.
Malah, hingga 28 November ini, Eina mengikuti kelas intensif bagi meningkatkan daya pemahaman.
   

  • Foto
  • Foto
  • Foto

“Selesai penggambaran Mimpi Cinderella sebulan lalu, saya fokuskan perhatian 100 peratus terhadap persediaan menghadapi peperiksaan. Sebelum itu, saya buat ulang kaji di set penggambaran.
“Pantang ada masa lapang, saya buka Ipad untuk ulang kaji lapan mata pelajaran.
Bekerja sambil belajar bukan perkara mudah, malah bohong kalau saya kata persediaan saya mencukupi. Sebab itu saya perlukan kelas intensif.

“Apapun, saya akan buat yang terbaik. Saya yakin boleh kerana keputusan sebelum ini pun okay, walaupun sibuk dengan penggambaran. Hasrat saya mahu melanjutkan pengajian setinggi boleh,” katanya ketika dihubungi Selasa lalu, yang juga hari kedua SPM.

Akui pelakon yang semakin mendapat perhatian ramai penerbit dan pengarah ini, cabaran lebih terasa apabila dia calon persendirian di sekolah swasta.

Jika majoriti calon menghadiri kelas di sekolah dan boleh mengulang kaji secara berkumpulan, dia belajar sendiri di rumah dengan mengikuti silibus Skor A, selain mendapat bimbingan guru yang dibayar khas.

“Tekanan lebih terasa jika kita belajar sendiri, tapi apakan daya, ini yang terbaik buat saya. Berada di bidang seni tidak memungkinkan saya bersekolah seperti rakan sebaya lain. Bila ada penggambaran, saya banyak ponteng kelas, jadi mami sarankan saya berhenti dan belajar di rumah saja.

“Kalau ikutkan, mami memang berat hati benarkan saya menjayakan drama Mimpi Cinderella kerana mahu saya fokuskan perhatian terhadap persediaan menghadapi SPM.

“Saya pujuk mami dengan menjelaskan, peluang melakonkan watak utama untuk drama siaran TV3 bukan datang selalu. Mungkin tertulis rezeki watak Zaleha jadi milik saya, walhal tawaran menghadiri uji bakat watak itu hadir dua hari sebelum penggambaran.

“Saya cakap dengan mami, saya berani ambil risiko ini dan berjanji tidak akan hampakan harapannya untuk lihat saya lulus SPM dengan baik. Syukur, ibu beri restu dan saya kena kotakan janji saya.

“Semalam (Isnin) saya menduduki kertas Bahasa Melayu I dan II dan hari ini (Selasa) Bahasa Inggeris I dan II. Setakat ini saya boleh buat dan harapnya enam subjek lagi pun sama. Kertas terakhir saya adalah Pendidikan Seni pada 29 November,” katanya yang akan kembali aktif berlakon selepas selesai menduduki SPM.

Mengapa gadis cantik manis dan berkulit putih mulus ini sanggup memperjudikan masa depannya untuk Mimpi Cinderella? Dengan lembut Eina menjelaskan, sebelum ini nasib kurang berpihak padanya, malah pada awal kemunculan, dia diselubungi kontroversi hingga ada yang tersilap menilainya.

Justeru, dia yang sebelum ini menyerlah menerusi 5 Jingga, Kemisah Kerbi, Pucuk Muda Kerabu Taugeh dan telefilem Jatuh Cinta berharap, Mimpi Cinderella dapat menambah keyakinan masyarakat terhadap bakatnya, sekali gus menjadi pemacu untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

“Watak Saleha mungkin nampak mudah, tetapi jujurnya ia mencabar kerana bagi saya, lebih senang menzahirkan karakter antagonis daripada protagonis.

“Saleha gadis naif, baik hati dan ceria, tetapi dia sangat takutkan ibu tirinya. Ini kali pertama saya hidupkan watak gadis yang benar-benar naif dan perlu banyak menangis.

“Pada mulanya susah, apatah lagi pengarah mahu saya betul-betul keluarkan air mata, tetapi lama kelamaan saya dapat hayati watak itu. Ini bukan watak utama pertama saya kerana sebelum ini banyak drama dan telefilem yang saya jayakan, tetapi Saleha boleh jadi kayu pengukur kemampuan saya,” katanya.


Diugut, dibuli kerana cantik

BERAZAM memiliki butik satu hari nanti, Eina atau nama sebenar, Nur Eina Azman akui, kembara hidupnya bukan mudah bila dilahirkan cantik, apatah lagi fizikalnya tampak jauh lebih matang daripada usia sebenar.

Sejak kecil dia dicemburui ramai, bahkan lebih menyedihkan, dia pernah dipulau ketika di sekolah gara-gara kelebihan dimilikinya. Keadaan itu bertambah buruk apabila dia bergelar artis. Saban hari, ada saja caci maki dihamburkan, malah dia sering dimalukan dan menjadi mangsa buli.

“Hidup saya sejak kecil memang sedih. Pengalaman mengajar saya untuk tidak rapat dengan sesiapa melainkan ahli keluarga. Sejak di sekolah rendah lagi, kehadiran saya kurang disenangi rakan.

“Pernah saya cedera akibat terjatuh ketika turun tangga gara-gara rasa cemburu mereka. Parut luka itu kekal hingga kini. Keadaan semakin teruk bila saya belajar di sekolah menengah. Ada saja yang sengaja mencari kesilapan saya, walhal saya tidak pernah ganggu sesiapa.

“Bukan saja rupa, bahkan ketinggian saya turut jadi bahan pertikaian. Bukan saya tidak cuba berbaik-baik, tetapi kebanyakan rakan akan menjauhi saya.

“Entah di mana silapnya saya pun tak tahu, walhal tiada beza pun saya dengan mereka. Apa yang mereka pakai, itulah yang saya pakai, malah saya tidak pernah bermegah bergelar artis.

“Saya sudah biasa terima panggilan berbaur ugutan mahu cederakan wajah saya, selain berpuluh-puluh surat layang. Sudah banyak laporan polis dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya tidak tahu ia angkara siapa dan tidak mahu ambil tahu. Ibu tidak sanggup lihat saya bersedih lagi dan atas faktor itu juga dia sarankan saya berhenti sekolah dan belajar di rumah saja,” katanya.

Pada usia yang masih hijau, Eina akui turut menjadi buruan ramai lelaki berhidung belang, malah ada antaranya golongan kenamaan. Ditawarkan barangan berjenama mahal, kereta mewah dan rumah besar hingga keluarga terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak membenarkan dia keluar rumah bersendirian.

“Biarpun muda, saya tahu menilai mana buruk dan mana baik. Saya rimas bila ada yang cuba menagih perhatian saya. Pernah ada yang sanggup tunggu saya di luar pagar sekolah setiap hari dan mengekori saya.

“Kadangkala saya memandu ke sekolah dan bila ada yang mengekori, keluarga tidak benarkan saya keluar rumah seorang diri lagi. Ke mana saja saya pergi, pasti mami atau kakak akan temankan, termasuk ke lokasi penggambaran.

“Itu lebih baik, setidak-tidaknya saya rasa selamat dengan adanya ahli keluarga di sisi,” katanya yang turut berkongsi rasa gembira apabila single sulungnya, Bahagia akan dilancarkan tidak lama lagi.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. fuh-yo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger