Yasmin Hani nak anak



HAMPIR setahun menjadi isteri kepada bekas anggota Blackrose, Sha'arin, pelakon dan hos Yasmin Hani memberitahu kehidupannya bertambah bahagia dan sempurna. Kehadiran Sha'arin umpama telah melengkapkan kehidupannya yang selama ini banyak dikongsi bersama rakan-rakan.

“Syukur kerana kehidupan saya menjadi sempurna dengan perkongsian hidup bersama suami. Kami banyak melakukan aktiviti bersama, yang mana sebelum ini banyak saya lakukan bersama teman-teman, terutama dalam hal melakukan hobi seperti menyelam," ujar pelakon yang mesra dengan panggilan Hani ini sewaktu majlis pelancaran kempen “Semarak Cinta” terbitan Astro.

Selain itu saat ditanya tentang persediaannya untuk memperoleh zuriat, Hani mengakui dia dan Sha'arin telah bersedia untuk membina keluarga dengan berusaha mendapatkan zuriat.

Ujar mereka, selepas setahun berkahwin, sudah tiba masanya untuk mereka menimang cahaya mata. Bagaimanapun tegas Hani, dia tidak begitu tertekan untuk segera mendapat anak.

“Ya, kami sudah memikirkan dan merancang untuk mendapatkan anak selepas setahun berkahwin. Tapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkan tentang pandangan orang atau sebagainya. Jika ada rezeki, memang saya dan suami sudah mahu mempunyai anak,” katanya tanpa berselindung.

Bakal menyambut ulang tahun perkahwinan pertama pada 21 Oktober ini, pasangan tersebut bagaimanapun tidak merancang sambutan khusus untuk meraikan cinta mereka. Ini kerana Sha'arin akan berada di luar Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Bagaimanapun menurut Hani, jika dia tidak terikat dengan sebarang pekerjaan, dia mungkin akan mengikut suaminya ke luar kota, sekali gus meraikan ulang tahun perkahwinan pertama mereka.
Namun walaupun tidak mempunyai perancangan khusus untuk meraikan ulang tahun perkahwinan pertama, pasangan ini ternyata bertuah kerana terbabit dengan program “Destinasi Cinta” yang bakal membawa mereka terbang berbulan madu ke Beijing, China pada 28 Oktober ini.

“Saya anggap ia sebagai hadiah ulang tahun pertama kali yang cukup menarik,” ujarnya yang tidak kisah jika 'bulan madu' mereka di sana sentiasa dirakam oleh lensa kamera dan kemudian disiarkan untuk tatapan umum.

Selain Hani dan Sha'arin, 11 pasangan lain turut terbabit dengan program berdurasi 30 minit tersebut. Antaranya adalah pasangan Sazzy Falak dan Nash (Macau, Noh dan Mizz Nina (Filipina) Raja Farah dan Megat (India) serta Johan dan Ozlyn (Thailand).
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. fuh-yo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger