Setiap baju saya pasti akan menutup lengan-Tasha Silla - ye sangatle tu
Bila menjejakkan kaki ke pentas glamor, apa saja yang dilakukan pasti menjadi perhatian ramai. Sebagai selebriti, inilah antara harga yang perlu dibayar di mana setiap kisah peribadi dikorek untuk tatapan umum. Pelakon Tasha Shilla juga tidak terlepas dari menjadi bualan ramai apabila setiap kelakuannya diperhati serta diperkatakan.
Dikaitkan dengan isu kereta mewah, ditaja golongan VIP dan berparti dengan Datuk, terbaru pemakaian pelakon ‘Atas Nama Cinta’ ini ketika sidang media Anugerah Skrin 2012 turut menjadi topik hangat apabila dikatakan mempunyai lambang salib.
“Saya gelak saja bila dengar isu ini. Saya nak tahu di mana lambang salib seperti yang diperkatakan itu kerana saya tak perasan pun ada lambang tersebut. Sebagai artis, saya sentiasa peka dengan apa yang dipakai dan ini semua hanya salah faham.
“Mungkin orang salah anggap mengenai tali riben yang terjuntai itu. Gaun rekaan Hazwani Osman ini hanya ada satu garis merah yang melintang di bahagian atas dada saja. Ini kali pertama saya memperagakan pakaian Hazwani dan saya harap isu ini tidak diperbesar-besarkan.
“Bagi yang mengenali saya, saya memang tidak gemar memakai sleeveless atau pakaian yang mendedahkan bahagian tangan saya. Setiap baju saya pasti akan menutup tangan dan saya sentiasa peka dan berhati-hati dengan apa yang saya pakai,” ujar Tasha sambil berharap orang akan menghentikan spekulasi yang tidak berasas mengenai dirinya.
“Saya tak mencari kontroversi tapi orang tak henti-henti kait serta reka pelbagai cerita tentang saya. Selama ini apa saja yang diperkatakan mengenai saya, saya hanya diam saja sebab saya tak mahu ia diperbesar-besarkan. Mungkin mereka nak tengok saya melenting namun saya tak kisah mereka nak cakap apa. Saya hanya mahu fokus terhadap karier saja.
“Apa saja orang nak cakap janji saya tahu siapa diri saya. Walaupun nampak saya relaks saja bila ada gosip tentang saya, namun tidak dinafikan, ada kalanya saya menangis kerana sedih apatah lagi bila ia melibatkan famili. Walau bagaimanapun, saya tak terfikir untuk mengambil tindakan namun jangan sampai melampau kerana tahap kesabaran saya juga ada hadnya sebab saya hanya manusia biasa.”
Labels:
Artis