NOVI mengaku ambil dadah, minum arak sebelum memandu. |
JAKARTA: Seorang model majalah dewasa berusia 25 tahun berdepan pelbagai pertuduhan selepas mencederakan tujuh orang, termasuk dua anggota polis ketika memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, kata polis.
Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Kanan Rikwanto berkata, Novi Amalia yang hanya berseluar dalam enggan menurut arahan polis supaya berpakaian selepas insiden itu.
Dia yang memandu kereta Honda Jazz secara membuta-tuli di pusat bandar melanggar seorang penunggang basikal dan penjaja jalanan pada jam 5.30 petang Khamis lalu.
“Dia yang terus memandu kemudian merempuh dua anggota polis di Taman Sari Jakarta Pusat,” katanya.
Laporan media menyatakan seorang daripada anggota polis itu cuba untuk menghentikan kereta Novi selepas wanita terbabit melanggar deretan penjaja jalanan.
Novi kemudian memecut kenderaannya sebelum merempuh van mini awam hingga pemandunya cedera.
Dia turut melanggar seorang penunggang motosikal dan sebuah lagi van mini.
Semua mangsa cedera dan dirawat di Hospital Husada di Jakarta Pusat.
Menurut Rikwanto, polis belum mendakwa Novi kerana dia masih tidak stabil secara fizikal dan mental, selain perlu menjalani ujian psikologi terlebih dulu.
“Novi mengakui mengambil ecstasy dan meminum arak di kediamannya sebelum memandu,” katanya.
Menurut keterangan saksi, Novi yang dalam perjalanan ke Ancol menanggalkan pakaian dan membuangnya keluar dari kereta.
“Dia hanya memakai seluar dalam ketika ditahan. Dia juga membuang dompetnya keluar dari kereta ketika memandu,” katanya.
Jika disabitkan bersalah Novi mungkin dikenakan hukuman penjara 16 tahun.
sumber- Agensi