Bekas Ibu Mertua Tak Simpan Dendam Pada Jimmy Shanley


Ketika ditemui pihak media di luar mahkamah selepas prosiding perceraiannya pada Rabu ini, Jimmy Shanley ada mengeluarkan kenyataan bahawa dia telah mengkhianati janji terhadap ibu mertuanya untuk tidak menceraikan Nursuhaila Eliani Suhaimy. Kenyataan itu membayangkan Jimmy terpaksa melukakan perasaan bekas ibu mertuanya apabila memilih jalan untuk berpisah.

Jadi, apa pula komen Datin Muniroh Kassim berhubung perceraian anaknya itu? Adakah dia benar-benar tidak boleh menerima perpisahan itu atau sebaliknya?

“Sebagai seorang ibu, tidak dinafikan saya sedih dengan perceraian mereka. Kalau boleh saya mahu jodoh mereka berpanjangan. Tiada lagi dalam sejarah keluarga saya yang bercerai-berai. Namun, inilah yang dikatakan takdir.

"Kita kena percaya jodoh, pertemuan dan ajal di tangan Allah. Jadi, saya menerima perpisahan mereka itu dengan hati terbuka. Saya tidak marah dan jauh sekali hendak berdendam dengan Jimmy. Saya percaya itu keputusan terbaik jika sudah tidak ada persefahaman di antara Jimmy dan anak saya. Jadi, tidak perlu di panjang-panjangkan kes ini,” ujar Muniroh yang dihubungi GUA sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, usahawan kosmetik ini juga memberitahu pihak keluarga tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga Jimmy dan Nursuhaila.

“Pada peringkat awal krisis rumah tangga mereka, memang saya ada cuba mendamaikan mereka. Namun, setelah usaha saya itu tidak berjaya, saya biarkan mereka selesaikan dengan sendiri. Ahli keluarga yang lain pun tidak ada masuk campur. Keputusan untuk bercerai itu pun mereka yang buat sendiri. Tiada desakan daripada pihak keluarga,” tambah beliau.

Mengulas lanjut tentang status hubungannya dengan Jimmy, Muniroh memberitahu hubungannya dengan bekas pengacara Trek Selebriti itu sudah lama renggang berikutan Jimmy sering mengelakkan diri daripada berjumpanya atau menghubunginya melalui telefon.

“Sebelum krisis rumah tangga mereka, saya dan Jimmy memang rapat. Kami sering berkongsi cerita. Namun, selepas perkahwinan mereka bermasalah, Jimmy seolah-olah mengelakkan diri daripada saya dan ahli keluarga yang lain. Dia bukan sahaja tidak menghubungi saya melalui telefon, malah SMS yang saya hantar pun dia tidak balas. Saya pun tidak tahu kenapa dia berbuat begitu. Mungkin dia berasa kurang selesa dengan saya.

"Kalau boleh saya tidak mahu bermusuh dengan dia. Jimmy adalah bapa kandung kepada cucu saya dan dia dialu-alukan untuk berkunjung ke rumah kami bagi melawat anaknya. Kami tidak pernah halang dia berjumpa dengan anak seperti yang didakwanya sebelum ini. Sebaliknya, Jimmy yang jarang melawat anak,” dedah Muniroh lagi.

Jimmy Tak Pernah Bagi Nafkah AnakSementara itu, Datin Muniroh Kassim menjelaskan dia tidak faham dengan keputusan Jimmy yang tetap mahu meneruskan kes tuntutan hak jagaan anaknya, Zahrah Shanley yang kini berusia setahun empat bulan.

“Saya bukan mahu memburuk-burukkan Jimmy, tetapi sepanjang tempoh anaknya di bawah jagaan saya, Jimmy tidak pernah memberikan nafkah. Dia gagal menjadi seorang ayah yang baik. Jadi, saya tidak faham kenapa dia beria-ria mahu menuntut hak jagaan ke atas anaknya itu.

"Saya tidak rasa yang dia boleh beri komitmen kepada Zahrah andai kata dia berjaya mendapat hak penjagaan itu. Kes ini sepatutnya tidak diteruskan. Macam yang saya katakan tadi, Jimmy boleh datang ke rumah saya pada bila-bila untuk melawat Zahrah. Sebelum ini dia yang jarang datang melawat,” ulas Muniroh.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. fuh-yo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger